loading...
ZIZAN Razak (kanan) dan Johan. - Foto fail NSTP/Munira Abdul Ghani KUALA LUMPUR: Artis serba boleh, Zizan Razak, mengakui teman baiknya, Johan Raja Lawak, risau melihat
keadaan beliau yang belum lagi bertemu jodoh. Zizan atau nama penuhnya Mohd Razizan Abdul Razak, 33, berkata Johan yang juga pelawak, pengacara dan penyampai radio itu
yakin kehidupannya akan lebih teratur apabila beristeri kelak. "Johan pernah memberitahu tidak mahu melihat saya solo sampai ke sudah. Dia yakin kehidupan saya akan lebih teratur
dengan adanya isteri di sisi. "Nak buat macam mana, apabila bercakap mengenai jodoh, semua ini urusan Allah. Saya berserah dan setakat ini saya masih solo," katanya kepada
BH Online. Tambah Zizan, sementara menantikan jodoh sesuai, beliau mahu menumpukan sepenuhnya terhadap kerjaya selain memperbaiki diri dalam usaha menjadi umat Islam
yang lebih baik. Sementara itu, ditanya mengenai percubaannya sebagai penyampai radio mengendalikan segmen pagi Era, Johara, Zizan bersyukur apabila mendapat reaksi positif daripada pendengar. Zizan yang juga calon awal dalam beberapa kategori Anugerah
Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, mengendalikan segmen itu bersama Johan, Hanif dan Ray. Kata Zizan, walaupun mengendalikan segmen itu secara berempat, mereka mudah
berkomunikasi antara satu sama lain. "Sebagai penyampai radio, kita perlu tahu apa yang pendengar mahu dengar. Saya pula tahu apa yang nak dibuat. "Alhamdulillah, kami senang bekerjasama dan masing-masing mempunyai cara tersendiri dalam penyampaian,"
tuturnya. Ditanya mengenai kemunculan semula kumpulan Jozan, Zizan berkata, ia masih dalam perbincangan dan beliau serta Johan berusaha untuk memberikan kejutan kepada peminat.
loading...